Wednesday, August 19, 2020

Doa Akhir Tahun & Awal Tahun

Doa Akhir Tahun

Bilakah waktu untuk membaca doa ini?

Bacaan doa akhir tahun ini digalakkan untuk dibaca pada petang selepas waktu Asar pada 29 atau 30 Zulhijjah.

Dengan nama Allah Yang Maha Mengasihani Lagi Maha Merahmati.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Selawat dan salam ke atas tuan dan penghulu kami, Nabi Muhammad, ke atas ahli keluarga Baginda, dan para sahabatnya sekalian.

Ya Allah, apa jua yang aku telah lakukan di dalam tahun ini daripada perkara yang Engkau telah tegah lalu aku tidak bertaubat daripadanya dan Engkau tidak redha serta tidak melupakannya, Engkau mengasihiku selepas Engkau berkuasa untuk menghukumku, dan Engkau menyeru kepadaku supaya bertaubat daripadanya selepas keberanianku melakukan maksiat kepada-Mu.

Maka sesungguhnya aku memohon ampun kepadaMu, ampunilah aku.

Apa jua perkara yang telah aku lakukan  di dalam tahun ini daripada sesuatu yang Engkau redha dan Engkau menjanjikan ganjaran kepadaku, maka aku memohon kepadaMu wahai Tuhan Yang Maha Mulia, wahai Tuhan Yang Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan, supaya Engkau menerimanya (amalan baik) daripadaku.

Dan janganlah Engkau memutuskan harapanku kepadaMu wahai Tuhan Yang Maha Mulia.

Semoga Allah melimpahkan selawat ke atas tuan kami, Nabi Muhammad, ke atas ahli keluarga Baginda, para sahabatnya, dan limpahkan kesejahteraan (kepada mereka).

Segala pujian hanyalah bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Ya Allah, perkenankanlah.

.............................................................................................................................

Doa Awal Tahun

Doa awal tahun dibaca pada selepas waktu Maghrib sebanyak 3 kali pada malam 1 Muharram.

engan nama Allah Yang Maha Mengasihani lagi Maha Merahmati.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Selawat dan salam ke atas tuan dan penghulu kami, Nabi Muhammad, ke atas ahli keluarga Baginda, dan para sahabatnya sekalian.

Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi, sediakala, lagi terawal, Engkau berada di atas kelebihan-Mu yang besar, dan kemurahanMu yang melimpah-ruah.

Ini adalah tahun baru yang telah sampai kepada kami.

Kami memohon kepadaMu perlindungan di dalamnya (tahun ini) daripada syaitan, para pembantunya, dan bala tenteranya, (kami memohon) bantuan untuk mengatasi nafsu amarah yang mengajak ke arah kejahatan, dan kesibukan dengan perkara-perkara yang mendekatkan kami kepadaMu sedekat-dekatnya, wahai Tuhan yang memiliki kebesaran dan kemulian, wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Semoga Allah melimpahkan selawat ke atas tuan kami, Nabi Muhammad, ke atas ahli keluarga Baginda, para sahabatnya, dan limpahkanlah kesejahteraan (kepada mereka).

Segala pujian hanyalah bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Ya Allah, perkenankanlah.

No comments:

Post a Comment